Tuesday 9 May 2017

Selamat Datang ke Blog MEKAR

Assalamualaikum wth.



Alhamdulilah, pujian-pujian kepada Allah SWT Tuhan Yang Mentadbir Seluruh Alam, yang telah memberikan kesempatan dan peluang kepada saya dan rakan-rakan AJK MEKAR 2017/2019 untuk mentadbir MEKAR dan seterusnya menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan serta membantu mantan karyawan DBP.  Saya selaku pengerusi Persatuan Mantan Karyawan DBP Malaysia (MEKAR) yang telah diberi mandat selama 2 tahun lagi (2017-2019) ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli MEKAR yang telah memberi kepercayaan dan amanah kepada saya terus memimpin MEKAR ke arah yang lebih baik, dinamik dan sentiasa prihatin serta mengutamakan kebajikan ahli dan mantan karyawan DBP di seluruh negara.

Kepada ahli MEKAR sedia ada saya mengucapkan syabas dan teruskan sumbangan dan penglibatan anda dan kepada mantan karyawan DBP Malaysia saya merayu agar segera tampil mengemaskini maklumat diri dan keluarga supaya anda daat disenaraikan kepada ajhli yang sah. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Bhg Pengurusan Sumber Manusia (PSM) DBP, dari tahun 1956 hingga terkini, terdapat sejumlah 944 orang mantan karyawan DBP yang telah menamatkan tugas dengan DBP sama ada melalui persaraan wajib, persaraan pilihan, menamatkan perkhidmatan dan bertugas di tempat lain dan sebagainya. Ketahuilah bahawa ANDA semua layak berdaftar sebagai AHLI MEKAR YANG SAH. Bagi mantan karyawan DBP yang telah kembali kerahmatullah pula, waris atau ahli keluarga yang sah adalah layak didaftarkan sebagai ahli bersekutu MEKAR. Harapan saya agar anda semua tampil dan kemaskini maklumat untuk menjadi ahli MEKAR yang sah.

Fokus MEKAR ialah bagaimana kami dapat meningkatkan aspek-aspek kebajikan mantan karyawan DBP melalui penglibatan semua pihak. Ketahuilah saudara-saudaraku semua bahawa ramai kalangan mantan karyawan DBP, ahli keluarga atau waris mereka yang terlantar sakit, uzur atau ditimpa bencana. Ada juga mantan karyawan DBP yang terpkasa menjalani saki baki kehidupan dalam keadaan terbiar dan tidak dipedulikan, dihimpit kesusahan serta kesulitan.  Mereka ini sentiasa mengharapkan sokongan moral bagi memulihkan emosi yang terjejas ataupun ada juga yang memerlukan bantuan kewangan. Oleh itu MEKAR sentiasa perihatin dan akan sentisa membantu setiap rakan yang memerlukan pertolongan.

Dalam mentadbir MEKAR, kami juga berhadapan dengan kekangan iaitu masa dan kewangan. Kewangan merupakan faktor utama kerana semua aktiviti yang akan dijalankan akan melibatkan perbelanjaan. dalam hal ini, MEKAR akan sentiasa memberi perhatian kepada usaha menambah dana kewangan melalui pelbagai sumber. Salah satu yang akan dilaksanakan ialah mengurus kursus dan latihan berbayar atas prinsip mencari hasil kewangan melalui aset yang dimilki oleh mantan karyawan DBP iaitu kemahiran dan pengalaman anda semua yang amat bernilai. Maka harapan saya agar semua mantan karyawan DBP diseluruh negara dapat bergabung tenaga bagi membantu MEKAR dan seterusnya kita dapat membantu rakan-rakan kita yang memerluan bantuan.

Sekian, saya  sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK, ahli-ahli MEKAR, mantan karyawan DBP Malaysia, pengurusan DBP dan semua pihak yang menyokong  dan membantu MEKAR.

Salam hormat,



Hj Mohd Ramly Hj Ngah Idris,
Pengerusi,
Persatuan Mantan Karyawan DBP Malaysia (MEKAR).

No comments:

Post a Comment